SELAMAT DATANG

Terima kasih kerana mengunjungi blog rasmi
Sekolah Kebangsaan Dato' Naning. Blog yang memaparkan program dan aktiviti di sekolah ini

::Pembuli Siber Ancam Pengguna Internet::

1:29 PTG

(0) Comments

14 Januari 2008

Oleh Mohd Azis Ngah
KUALA LUMPUR: Sejumlah 46 peratus atau hampir enam juta daripada kira-kira 13 juta pengguna internet di Malaysia terdedah kepada ancaman dan serangan pembuli si ber kerana terlalu banyak mendedahkan maklumat peribadi mereka di laman web.

Sebahagian besar daripada angka itu membabitkan kanak-kanak dan remaja, kumpulan yang disifatkan paling berisiko menghadapi ancaman pembuli siber berbanding golongan dewasa yang lebih matang.


Buli siber ialah sebarang bentuk ancaman dan serangan yang boleh dikenakan terhadap seseorang pengguna internet melalui pesanan teks, gambar menerusi e-mel, blog, telefon bimbit serta rangkaian web bagi mengganggu, memalukan dan mengugut.
Ia boleh dilakukan menerusi internet seperti menyebarkan khabar angin, menghantar imej yang mengaibkan secara berterusan atau dengan mengekori, mengancam atau memeras ugut seseorang individu menggunakan maklumat yang diperoleh daripada zon siber.

Pengurus Pemasaran Perniagaan Pelanggan Symantec bagi Asia Selatan, Effendy Ibrahim, berkata pengguna internet yang selalu berkongsi maklumat dengan rakan sering tidak menyedari risiko ancaman pembuli siber setiap kali mereka berbuat demikian.

Katanya, tindakan mereka mendedahkan maklumat peribadi yang ada kalanya sulit, sama ada melalui internet, laman web sendiri atau blog, boleh digunakan pihak tertentu sebagai bahan dan alat untuk membuli serta mengancam mereka.

“Memang kecanggihan teknologi maklumat (IT) memberi remaja dan kanak-kanak banyak pilihan untuk berhubung, bergaul serta berkomunikasi, tetapi ia boleh mengundang masalah apabila wujud pihak yang mahu mengambil kesempatan menganiaya mereka.

“Buli atau ancaman siber ini boleh dilakukan sesiapa saja, termasuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Jadi, pengguna internet khususnya kanak-kanak perlu berhati-hati apabila mendedahkan maklumat peribadi masing-masing,” katanya kepada Berita Harian.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), pengguna internet di negara ini berjumlah 12.9 juta sehingga September 2007. Daripada jumlah itu, 11.7 juta melanggan secara ‘dial-up’, manakala 1.2 juta lagi menggunakan khidmat jalur lebar.

Sejumlah 46 peratus daripada mereka sering melayari laman sosial seperti Friendster, MySpace, Xanga, atau Facebook dan kebanyakannya seronok menghantar serta berkongsi profil peribadi selain gambar tanpa menyedari maklumat itu boleh dipintas dan direkod pihak tertentu.

Effendy berkata, walaupun buli dan ancaman siber mungkin sesuatu yang baru dan tidak banyak dilaporkan di negara ini berbanding negara maju, beliau percaya ada yang sudah menjadi mangsanya dan perkara itu perlu dibendung.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak mereka dengan mengambil tahu laman web yang dilayari serta memastikan mereka tidak mendedahkan maklumat peribadi termasuk memberikan alamat rumah, nombor telefon kepada rakan internet.

“Ancaman dan buli siber boleh memberi kesan besar kepada kanak-kanak kerana sesuatu maklumat yang sepatutnya bersifat peribadi boleh disebarkan secara meluas dalam tempoh singkat sehingga mengakibatkan mereka mengalami trauma.

“Sebagai contoh, sekeping gambar memalukan yang diterima melalui internet atau telefon bimbit boleh dihantar kepada berpuluh-puluh rakan sekolah seseorang murid dalam mangsa singkat sehingga mengakibatkan pemiliknya tertekan.

“Perbuatan ini yang mungkin bermotifkan buli, peras ugut, atau ancaman boleh dilakukan dengan mudah menerusi internet atau telefon bimbit dan ia sebenarnya satu jenayah kejam kerana menzalimi dan menganiayai kanak-kanak,” katanya.

Mengikut Seksyen 223 Akta Komunikasi Dan Multimedia, sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam serta serangan dengan niat mengancam atau mengacau, ialah satu kesalahan dan mereka yang sabit kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM50,000.

Sumber Dari Berita Harian

administrator

0 Responses to "::Pembuli Siber Ancam Pengguna Internet::"

Catat Ulasan

SEKOLAH KEBANGSAAN DATO' NANING
78000 Alor Gajah
Melaka
Tel | Faks : 606-5561299
E-mel : mbb0042@ppdalorgajah.edu.my

Penafian: Sekolah Kebangsaan Dato' Naning adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini. Segala kesulitan amat dikesali

Laman web ini sesuai dipapar menggunakan pelayar Internet Explorer 7 ke atas dan Mozilla Firefox 3.0.